Welcome to my blog :)

rss




I made this widget at MyFlashFetish.com.




Ahad, 28 Mac 2010

"1Malaysia bukan sekadar satu slogan,sebaliknya merupakan kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah Negara Maju".

YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tn Abdul Razak
Kuantan,Pahang,18 April 2009
"1Malaysia menekankan prinsip saling percaya-mempercayai di antara satu sama lain yang dapat menyatupadukan seluruh rakyat".

YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
http://www.1malaysia.com.my/
"Kita perlu mempunyai perasaan yang kita rapat antara satu sama lain.Kita terdiri daripada satu negara,satu bangsa malaysia dan mempunyai satu impian untuk masa depan yang lebih baik dibawah konsep 1Malaysia".

YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Kuching,Sarawak,17 Jun 2009
"Kita akan hanya mampu mencapai cita-cita untuk Malaysia apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman makmur".

YAB Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Putrajaya,9 April 2009

Kuasa Rakyat Kuasa Keramat

Satu Malaysia sokong usaha memperkasa kaum sendiri, tetapi bukan dengan cara diskriminasi kaum lain.

1 Malaysia

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Rakyat seharusnya menjadi mata dan telinga untuk memantau agar gagasan ini tidak terbabas daripada matlamatnya.

Jumaat, 19 Mac 2010

Perpaduan Nasional


Perpaduan nasional di Malaysia masih berada di tahap rendah, tahap luaran. Kita hanya bekerjasama dan bertolak ansur dalam perkara tententu. Apabila melibatkan perkara besar, kita selesa berada di atas landasan kaum sendiri dengan membelakangkan kaum lain.

Perpaduan nasional sekadar bunga kata-kata untuk melunakkan telinga sendiri, sedangkan hakikatnya kita masih terpisah oleh cita-cita dan perjuangan kaum masing-masing.

Namun, sesetengah pihak berkata perpaduan yang dipupuk sejak di bangku sekolah begitu erat tetapi kepentingan politik murahan menjadi penyebab perpaduan kaum tergugat.

Sewaktu di bangku sekolah kita tidak berasa diperkotak-katikkan. Kita tidak sedar ada perbezaan antara kita dengan kawan-kawan di sebelah yang bernama Amran, Subramaniam, Chong Beng, atau Attapol.

Kita tidak pernah dibisikkan jurang perbezaan. Kita tidak diapi-apikan dengan isu perkauman. Malah kita tidak kenal siapa Bumiputera dan bukan Bumiputera kerana kita tidak diajarkan tentang perkara itu.

Kita ditanamkan nilai persamaan lalu kita merasakan kita ini tidak ada perbezaan. Kita diajarkan menyanyi lagu Negaraku beramai-ramai sambil berdiri tegak memandang Bendera Kebangsaan ditarik ke puncak tiang. Semua orang, tidak terkecuali sesiapa pun, mesti menumpahkan taat setia kepada raja dan negara. Lima Rukun Negara adalah prinsip hidup kita. Selaku rakyat Malaysia, kita dilayan secara adil dan saksama. Begitulah kita rasa.

Namun, hakikatnya tidak begitu. Apabila dewasa kita mula mengesan ketidaksamaan dalam layanan. Kita sedar bahawa ada jurang yang dalam di antara kita. Jurang ciptaan pemimpin kita sendiri. Pemimpin kita hidup dengan dua wajah iaitu wajah bangsa sendiri dan wajah bangsa Malaysia. Mereka hipokrit. Kita dikotak-kotakkan mengikut asal-usul, keturunan dan anutan agama. Hampir saban hari, telinga kita dibingitkan dengan isu-isu “perbezaan” seperti hak warganegara, isu rakyat kelas kedua, kedudukan istimewa, DEB, bahasa ibunda, kuota pendidikan, biasiswa, subsidi dan seribu satu perkara.

Inilah punca utama matlamat perpaduan tidak pernah kesampaian. Perpaduan hanya untuk kanak-kanak. Orang dewasa hidup “aku aku, engkau engkau”. Luarannya kita kelihatan bersatu, tetapi dalaman, tanyalah hati sendiri.

Kita tidak mahu perbezaan begini berterusan sehingga ke generasi mendatang. Kita bimbang perbezaan menghapuskan kesejahteraan dan kedamaian yang diusahakan selama ini. Oleh itu, dasar perpaduan dan integrasi harus diberikan nafas baru.

Perpaduan tidak akan berhasil sekiranya bersulamkan politik perkauman dan sifat hipokrit.
Sumber:satumalaysia.wordpress.com

Impian


Aku seorang daripada rakyat Malaysia yang mengimpikan keadilan dan kesaksamaan semua warganegara tanpa prejudis gender, bahasa, kaum dan agama.

Diharapkan konsep Satu Malaysia bukan retorik politik untuk mendodoi rakyat, tetapi sebuah impian bersama yang harus diusahakan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Paling benci parti perkauman yang melampau. Setiap orang ada perasaan mencintai kaum sendiri, tetapi sekiranya melampaui batasan rasional, ia amat menjijikkan dan patut dikutuk.

Kita adalah SATU dalam kepelbagaian. Perjuangan kita adalah perjuangan untuk semua orang. Aku ingin sekali melihat rakyat Malaysia hidup seperti sebuah keluarga besar. Walaupun sukar tetapi tidak mustahil.


Sumber:satumalaysia.wordpress.com

Satu Malaysia


1 MALAYSIA DATUK SERI NAJIB RAZAK


1 MALAYSIA; rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Pada mulanya gagasan 1Malaysia agak kabur sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan. Pada 15 April Perdana Menteri menemui pengarang media massa arus perdana untuk merungkaikan kekaburan tersebut. Selepas transkripnya disiarkan barulah muncul gambaran yang agak jelas.

Antara lain, 1Malaysia, mengikut penjelasan Perdana Menteri, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia ialah:

1. Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

2. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan;
dan

3. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Untuk merealisasikan gagasan ini, Perdana Menteri menggariskan 8 nilai iaitu budaya cemerlang, daya tahan, rendah diri, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Sejauh mana gagasan 1Malaysia berjaya terpulang kepada kesungguhan, kejujuran dan keikhlasan Perdana Menteri dan jentera pemerintah melaksanakannya. Semua rakyat tanpa mengira idealogi politik harus memberikan kerjasama.

Rakyat satu Malaysia bakal menilai. KPI di tangan rakyat. Sekiranya gagal, kerajaan BN bakal tumbang dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Perdana Menteri yakin sekiranya konsep 1Malaysia dihayati oleh pemimpin Barisan Nasional, rakyat akan kembali kepada Barisan Nasional. Saya amat setuju dengan kenyataan ini. Lapan nilai murni yang digariskan oleh Perdana Menteri sekiranya mampu dilaksanakan sepenuhnya, Malaysia akan jadi negara contoh di dunia.

(Klik di sini untuk masuk laman 1Malaysia Perdana Menteri)

Persoalanya, mampukah pemimpin kita melaksanakannya? Ini tugasan yang berat. Jadi pemimpin untuk berebut projek kerajaan tidak membawa sebarang makna kepada kejayaan 1Malaysia, bahkan bakal meruntuhkan gagasan murni itu.

Pemimpin yang memperjuangkan kepentingan diri harus dinyahkan dari kerajaan. Pemimpin yang mempunyai sikap positif dan murni harus diberikan keutamaan. Perdana Meteri mesti tegas dalam hal ini. Misalnya, integriti sangat penting dalam pelaksanaan dasar pembangunan negara secara menyeluruh, tetapi nilai inilah yang kita ketandusan. Sehingga sekarang kita belum nampak bahawa pemimpin BN sedang mengorak langkah ke arah 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, sebaliknya masing-masing menegakkan gagasan sendiri.

1Malaysia bukan sekadar “sebutan” atau dijadikan “tema” hari kebesaran tertentu, tetapi satu gagasan yang WAJIB dilaksanakan dengan sepenuh hati!


Sumber:satumalaysia.wordpress.com

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Mutiara Kata


1.Ketabahan anda lebih mudah dikenalpasti ketika anda mengalami kesusahan..
2.Kebijaksanaan ialah mengetahui apa yang tidak diingini dan juga apa yang diingini..
3.Keyakinan tidak memberikan apa yang anda ingin tetapi menunjukkan jalan agar anda dapat mencapainya sendiri..

Pelancaran Klinik 1Malaysia

Klinik 1Malaysia Di Melaka Dapat Sambutan Menggalakkan


MELAKA, 17 Feb (Bernama) -- Kewujudan Klinik 1Malaysia di tiga kawasan di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata sejak dibuka pada 7 Januari sehingga 14 Februari lepas, seramai 8,829 orang datang untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan iaitu di Taman Suria, Bukit Katil dan Taman Merdeka di Batu Berendam serta Taman Samarinda di Alor Gajah.

"Purata harian orang yang mengunjungi ketiga-tiga Klinik 1Malaysia ini ialah 233 orang dengan klinik di Taman Merdeka paling ramai dikunjungi iaitu seramai 4,067 pesakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Taman Merdeka hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Melaka, Datuk Norpipah Abdol dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Azmi Hashim.

Mohd Ali berharap kerajaan pusat dapat menambah bilangan Klinik 1Malaysia di Melaka terutama di kawasan yang ramai penduduk seperti di Masjid Tanah, Jasin, Merlimau dan Ayer Molek.

Katanya kewujudan Klinik 1Malaysia tidak menjejaskan operasi klinik swasta kerana mereka mempunyai pelanggan sendiri.


Sumber:BERNAMA

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

SAJAK KEPADA 1MALAYSIA

monumen muluk ini terbina
dari lidah fikir menteri perdana
sebuah gagasan puluhan juta rakyat
terhimpun dalam rumah damai
yang bertiang
tapi tak berdinding beratap berlantai.

dari taman ilmu
aku merenung jauh
yang kutafsir adalah segugus damai yang hilang
dalam hati perpaduan
setelah berabad meniti jambatan merdeka

dari taman ilmu
aku mengetuk pintu Malaysiaku
membuka jendela kemudian merenung purnama bulan
sambil mendengar matahari bersyair
dan rakyat menadah air mata yang tertumpah

saat monumen muluk ini
memuncak ke langit dan mengakar ke pusat bumi
sukmaku membaca gerak sunyi
melangkah longlai meninggalkan masa lalu
hingga menyentap senyum tawa bonda.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Khamis, 18 Mac 2010

Y.A.B Dato` sri Mohd Najib Tun Razak


Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Dato’ Sri Najib merupakan putera sulung kepada Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan pasangannya Tun Rahah Mohd. Noah. Dilahirkan dalam keluarga lima beradik, empat yang lain adalah Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir.

Dato’ Seri Najib mendapat pendidikan rendah dan menengahnya di St. John. Institute, Kuala Lumpur. Di zaman persekolahannya, beliau menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Beliau gemar bermain bola sepak dan basikal. Apabila menginjak dewasa, beliau mula berjinak-jinak dengan permainan golf, dan soccer.

Pada tahun 1974, dengan menggenggam Ijazah Ekonomi Industri, Dato’ Sri Najib memulakan kariernya sebagai eksekutif dengan Perbadanan Petroleum Nasional (PETRONAS) yang baru ditubuhkan oleh kerajaan pada ketika itu. Biarpun, pada mulanya, Allahyarham ayahandanya, menginginkan beliau menceburi bidang perakaunan, namun minat dan kecenderungannya menjurus ke arah politik.

Pertama kali Dato’ Sri Najib menjejakkan kakinya ke dalam bidang ini ialah selepas ayahandanya Tun Razak meninggal dunia. Sebagai mengenang jasa Tun Razak kepada kepimpinan negeri dan negara, UMNO Pahang kemudiannya sepakat meletakkan Dato’ Sri Najib sebagai ahli Parlimen Pekan. Malah, bukan sahaja Pengerusi Badan UMNO Negeri menyokong cadangan itu, Sultan Pahang turut memperkenankan pelantikan itu.

Mula menceburi bidang politik sewaktu berusia 23 tahun setelah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, kawasan Pekan, Pahang. Kini, setelah 33 tahun beliau berkhidmat bersama-sama UMNO, tanggal 28 Mac 2009, beliau diangkat sebagai peneraju UMNO. Mengikut jejak langkah ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau tekad bangun mempertahankan perjuangan UMNO untuk negara tercinta.

Sumber:www.1malaysia.com.my

Yayasan 1Malaysia


Yayasan 1Malaysia (Y1M) adalah sebuah yayasan bebas, bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan khusus untuk membangun, menyokong dan menerajui kegiatan dan program yang akan melibatkan semua rakyat Malaysia dalam usaha ke arah mencapai perpaduan nasional dan konsep 1Malaysia.

Yayasan ini ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang sealiran berminat untuk melihat konsep 1Malaysia, yang dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang kepada kehidupan semua rakyat Malaysia.


Sumber:www.1malaysia.com.my

Rabu, 17 Mac 2010

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur


Kuala Lumpur (Tulisan Jawi: كوالا لومڤور; sering disingkatkan KL), atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia. Kawasan Wilayah Persekutuan yang meliputi tanah seluas 244 km2 (94 batu²), dianggarkan diduduki 1.6 juta orang pada tahun 2006.[2] Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang[3], dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.[4]
Kuala Lumpur merupakan tempat letak Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999.[5] Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara, juga terletak di Kuala Lumpur. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat.[6] Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandaraya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).[7]
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeriSelangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.[8]
Semenjak 1990-an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998 dan Kejohanan Dunia Formula Satu.[9] Selain itu, di Kuala Lumpur terdirinya menara berkembar tertinggi di dunia, iaitu Menara Berkembar Petronas.[10]
Kuala Lumpur dihubungkan dengan dunia luar oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya berkhidmat untuk penerbangan dalam negara.


Sumber:Wikipedia Bahasa Melayu,esiklopedia bebas.

Bunga Raya-Varieti Bunga Raya

Sejarah Bunga Raya


Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu[1] (Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.

Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India.


Sumber:Wikipedia Bahasa Melayu ,ensiklopedia bebas

Perpaduan Bangsaku Tercinta

Khamis, 11 Mac 2010

Budaya & Warisan:Penduduk


Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu, telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya.
Segala aspek negara, dari latarbelakang penduduknya, hinggalah kekayaan senibinanya, mencerminkan penggabungan warisan dan budaya yang pelbagai.
Kinilah masanya, Malaysia adalah destinasinya.

TEROKAILAH BUMI PELBAGAI BUDAYA


Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik.
Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.

Melayu

Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.

Cina

Ini adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada pendatang ke negara ini pada kurun ke-19. Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai berniaga. Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanahair di Johor.

India

Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India yang berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu. Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta yang diamalkan di India. Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.

KUMPULAN ETNIK PRIBUMI


Orang Asli

Orang Asli adalah terma yang digunakan untuk kumpulan etnik pribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Mereka dibahagi kepada tiga kumpulan utama: Negrito, Senoi dan Proto-Melayu. Kumpulan Negrito biasanya tinggal di utara, Senoi di pertengahan dan Proto-Melayu di selatan. Setiap kumpulan dan kumpulan etnik kecil mempunyai bahasa dan budaya tersendiri. Ada yang menjadi nelayan, peladang dan ada yang kerap berpindah-randah.

SARAWAK


Secara kolektifnya, kumpulan etnik utama di Sarawak dikenali sebagai Dayak, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. ‘Dayak’ yang bermakna ‘hulu’ atau ‘pedalaman’, digunakan sebagai istilah umum oleh penduduk Islam pinggir pantai bagi merujuk kepada lebih 200 kumpulan suku peribumi yang tinggal di kawasan pedalaman. Lazimnya mereka tinggal di rumah panjang, iaitu rumah komuniti tradisional yang boleh memuatkan antara 20 hingga 100 buah keluarga.

Iban

Kumpulan etnik terbesar Sarawak, kaum Iban merangkumi 30 peratus populasi negeri ini. Kadangkala mereka dikategorikan secara salah sebagai etnik Dayak Laut kerana kepakaran mereka menggunakan bot, bagaimanapun, mereka sebenarnya kaum dari hulu sungai di tengah-tengah Kalimantan. Dahulu kala, mereka adalah pejuang yang sangat gagah berani dan terkenal dengan ‘ngayau’ atau pemburuan kepala serta aktiviti pelanunan. Secara tradisi, mereka menyembah tiga Tuhan di bawah kekuasaan Singalang Burung, Tuhan burung peperangan. Walau kebanyakan mereka kini beragama kristian, mereka masih mengamalkan amalam tradisi.

Bidayuh

Kaum Bidayuh Sarawak terkenal kerana keramahan budaya mereka, selain menjadikan kawasan pergunungan negeri ini sebagai tempat kediaman. Ada yang merupakan peladang, dan pemburu. Mereka juga terkenal kerana minuman tuak (arak beras). Dahulu, sewaktu zaman pemburuan kepala, hasil pemburuan tersebut diletakkan di dalam sebuah ‘baruk’. Baruk adalah sebuah rumah bulat yang dahulu kala menjadi tempat bagi pemuda Bidayuh mengawal kampung mereka. Ia dibina tinggi, kira-kira 1. 5 meter dari tanah dan berfungsi memantau pergerakan dari pelbagai arah. Asalnya mereka mengamalkan ajaran animisme dan kini ramai yang telah memeluk agama Kristian.

Orang Ulu

Dikenali sebagai kaum hulu sungai Sarawak, mereka kira-kira 5.5 peratus populasi Sarawak dan terdapat lebih 100,000 suku etnik Orang Ulu di sini. Mereka adalah antara kaum pribumi Borneo yang paling artistic, dengan penggunaan pelaratan yang dihiasi seni tangan manik yang halus, dan juga kaum wanita yang berpangkat tinggi turut menghiasi tubuh mereka dengan seni lukisan tatu.


SABAH

Kaum etnik terbesar Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.

Kadazan Dusun

Kumpulan etnik terbesar Sabah, Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi negeri itu. Terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun mereka digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan secara tradisi terlibat dalam penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.

Bajau

Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda, yang turut dipamerkan setiap tahun di festival Tamu Besar di Kota Belud.

Murut

Kaum etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi 3 peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Seperti kebanyakan kaum pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.

Sumber:www.tourism.gov.my

Logo dan Tema 1Malaysia

Keterangan Logo

Melambangkan visi Negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan Negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
Sumber:Pusat Maklumat Rakyat

Rabu, 10 Mac 2010

Angkasawan Negara


Hari ini 10 Oktober 2007 pada pukul 9.21 malam, kapal angkasa Soyuz TMA-11 telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. Tiga orang penumpang di dalamnya ialah Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka akan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang terletak lebih daripada 300km dari bumi.Ini merupakan satu detik bersejarah kepada negara Malaysia kerana telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di angkasa selama 10 hari, ini ternasuk 8 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa. Kapal angkasa Soyuz TMA-11 dijangka akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 12 Oktober pukul 10.51 malam. Di situ nanti Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan mengadakan tiga ujikaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dilahirkan pada 27 Julai 1972 di Kuala Lumpur. Beliau telah belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Rendah Sains MARA Muar, Johor. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mempunyai MBBS dari KMC Manipal, India dan Master in Orthopaedic Surgery dari HUKM. Sekarang ini bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2005. Sebelum itu beliau pernah bertugas di Hospital Seremban (1998), Hospital Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama akan merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Pada 1 Syawal nanti beliau akan menjamu 16 orang angkasawan lain di Stesen Angkasa Antarabangsa. Makanan yang dibawa untuk dihidangkan ialah biryani ayam, satay ayam, rendang tok, kepingan mangga kering, gulungan pisang, tempe, jeli halia, Roselle Granola bar dan kuih raya bangkit.Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini walaupun setelah pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003. Ini diikuti pula dengan pihak NASA yang hanya menyebut Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai "spaceflight participant" sahaja bukannya angkasawan.Walau apapun pendapat anda, kita berdoalah supaya misi yang diikuti oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sehinggalah beliau balik ke bumi pada 21 Oktober nanti.


Sumber:Pusat Maklumat Rakyat

Angkasawan

IMPIAN Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, selamat dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome di sini, malam tadi.(10.10.2007) Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tepat jam 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia), mencatat satu lagi kegemilangan dalam lipatan sejarah negara di peringkat antarabangsa. Dr Sheikh Muszaphar, 35, juga mencatat sejarah sebagai angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Sumber:youtube

Satelit


SATU lagi kebanggaan negara. Dengan empat satelit berada di orbit, Malaysia kini turut serta dalam liga dengan negara lain dalam perlumbaan teknologi satelit yang mempunyai kesan meluas terhadap kehidupan harian. Pelancaran Measat-3 yang menggunakan roket Proton Breeze-M, susulan kepada tiga satelit sedia ada, dilancarkan tepat jam 7:28:30 pagi atau 5:28:30 pagi waktu tempatan di lokasi pelancarannya di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, Selasa lalu, menempah satu lagi sejarah dalam industri ini.Satelit berkenaan yang berupaya memberikan liputan lebih meluas di Asia Pasifik bagi perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran dan televisyen satelit, menyediakan perkhidmatan di Asia, Australia, Asia Barat, Eropah Timur dan Afrika, iaitu merangkumi 70 peratus penduduk dunia.Measat-3 yang diletakkan berdekatan dengan Measat-1 pada 91.5 darjah longitud timur menyediakan transponder berkuasa tinggi 24 jalur C dan 24 jalur Ku dengan setiap jalur menyediakan 36 MHz jalur lebar dengan tempoh hayat 15 tahun.Selepas berjaya melancarkan dua satelit terdahulu iaitu Measat-1 dan Measat-2 pada 13 Januari dan 14 November 1996, TiungSAT-1 pula dilancarkan kira-kira jam 6.05 petang (waktu Malaysia) pada 2000, sekali gus membuka lembaran baru negara dalam dunia berteknologi tinggi.TiungSAT-1 yang dilancarkan menggunakan kenderaan pelancar roket Dnepr ke tahap ketinggian 650.4 kilometer pada orbit bumi (LEO) dengan membawa peralatan canggih termasuk sistem penghantaran data dan suara.Mikrosatelit yang baterinya mampu bertahan antara tiga hingga 15 tahun itu juga membawa muatan kerja saintifik, kamera, alat pengesan jauh dan sistem kedudukan global (GPS). Satelit yang digunakan untuk tujuan pendidikan, perhubungan, pengurusan hutan, pengawasan pencemaran, sains angkasa serta bagi ramalan kaji cuaca.Sebelum ini, Malaysia melancarkan Measat-2 dari pelabuhan angkasa lepas Kourou, French Guiana, yang membuktikan negara ini serius dengan rancangan pembangunannya di ambang zaman maklumat ini.Pelancaran satelit kedua itu genap 11 bulan selepas satelit pertama dilancarkan, bukan hanya turut menyokong matlamat negara menuju Wawasan 2020 malah wawasan bagi mengubah kehidupan satu bilion penduduk Asia sehingga abad ke-21.Measat-1 dan Measat-2 adalah satelit pertama menggunakan teknologi terkini seperti alat pembalik khas bagi kontur permukaan pemancaran lebih berkesan kawasan hutan hujan tropika seperti Malaysia dan bekalan kuasa menggunakan sel solar galium arsenida. Teknologi terkini beban tenaga hibrid lebih tinggi bagi model HS376 yang dibina oleh Hughes Space and Communications Company di Los Angeles adalah khas untuk aplikasi digital sepenuhnya bagi menyalurkan dengan pantas perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran dalam lingkungan tapak pancarannya di rantau ini.Sejak itu, kita dapat menyaksikan pencapaian penting dalam sejarah pembangunan dan kemudahan komunikasi angkasa negara, termasuk penubuhan komunikasi satelit di Jabatan Telekom Malaysia, sistem ramalan cuaca berasaskan satelit di Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca.


Sumber:www.bharian.com.my

MeMaHaMi KonSep 1Malaysia


Inilah satu-satunya Malaysia yang ada. Kita tidak ada Malaysia yang lain. Marilah kita yang menjadi warganegaranya menjaga Malaysia dengan cara yang paling baik supaya negara kita tidak cacat dan tetap terpelihara.Kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di buminya yang makmur. Demi Malaysia nan satu kita sanggup melupakan perbezaan untuk berkongsi nilai yang serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran.Kita hanya ada Malaysia yang ini. Buruk atau baik inilah negara kita.Kita tak perlu bangunkan Amerika yang kedua atau Thailand yang kedua di bumi tercinta ini. Cukuplah Amerika atau Thailand yang sedia ada. Di mana bumi Malaysia dipijak di situlah langit Malaysia dijunjung.Kita berbeza dalam banyak perkara tetapi kita berkongsi Malaysia yang satu. Di sinilah kita mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati hidup dengan aman dan tenteram.Di atas tanah Malaysia nan satu kita Satu Malaysia hanya ingin hidup aman, bahagia dan sejahtera. Tiada peperangan dan tiada kekacauan. Jika anda ingin berdemonstrasi dan membuat kacau ada harus mencari negara yang lain, bukan di Malaysia. Di situ anda boleh melakukan sesuka hati ikut undang-undang anda. Tetapi selagi anda di Malaysia, jangan. Kelak Satu Malaysia akan menolak anda.Kita hanya ada Malaysia yang ini. Tak mungkin sama dengan negara-negara lain. Jika anda sukakannya anda boleh kekal di sini. Jika anda tidak sukakannya anda boleh keluar dari sini.Kita boleh berbeza pandangan, tetapi kita tak boleh berpecah kerananya. Dalam perkara-perkara yang menyangkut tentang keselamatan dan kestabilan hegara, kita hanya ada satu pilihan, iaitu mesti bersatu.Marilah kita mula mencari kelebihan dan menghimpunkannya kerana itu yang diperlukan oleh negara. Elakkan sindrom mencari salah para pemimpin kerana cara begini hampir tak berguna untuk negara.Semangkuk kari adalah campuran daripada pelbagai bahan yang diadun dengan sempurna. Satu Malaysia hanya terbentuk apabila modal insan berkualiti bergabung dan menyokongnya.Satu Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, bukan sebahagiannya.


SUMBER : BERITA HARIAN

Rabu, 3 Mac 2010

Salam 1 Malaysia

Selasa, 2 Mac 2010

Ungkap Pemikiran Pelbagai Kaum,Latar


“KITA perlu meneliti semula kenyataan Profesor Tan Sri Ismail Hussein supaya dibuka bidang sastera kebangsaan supaya ia mengungkapkan pemikiran dan kosmologi pelbagai kaum dan latar budaya yang kelak mungkin asing bagi kerangka pemikiran kemelayuan yang selama ini sempit.”

Berkata demikian dalam makalahnya Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia: Satu Penilaian Semula, Saiee Driss selanjutnya menjelaskan, “Kita harus menilai dan menghargai aspek kemanusiaan di dalam karya bukan aspek eksetika yang sebenarnya disebabkan oleh kejahilan dan fikiran romantik kemelayuan intelek Melayu yang leka dengan konsep ketuanan yang semakin mencabar kesahihannya.”

Kata Saiee, kalau mahu sastera kebangsaan menjadi pemersatu pelbagai kaum, kita harus mengaut ciri-ciri kepelbagaian kaum warganegara Malaysia itu sendiri dan memberi layanan saksama terhadap semua persoalan dan masalah semua kaum itu.

Dengan kata lain, tambahnya, selain harus memperbanyakkan jumlah karya, harus diusahakan pengkayaan tematik sastera kebangsaan itu dengan weltachauung dan kosmologinya.

“Kalau kita dapat menerima karya barat dengan nilai dan minda kebaratannya, maka kita harus dapat menerima bidang kosmologi yang selama ini dilihat eksotik sebagai milik hakiki bangsa Malaysia dan sebahagian daripada budaya besar Malaysia yang boleh sahaja mempengaruhi keperibadian dan warna budaya Malaysia seluruhnya.

Menurutnya, lebih banyak toleransi diperlukan dalam membenarkan pengungkapan pemikiran dalam bahasa yang mungkin sekarang dilihat payah untuk diterima.

Misalnya, penggunaan istilah Tuhan dan Allah bagi konsep Tuhan Esa dan khutbah dan sembahyang kaum dan agama lain serta kitab mereka yang ada nilai sastera diterjemah dan dipopularkan dalam bahasa kebangsaan apakah dibenarkan oleh sastera kebangsaan wujud di dalam korpusnya yang mengupas tema selain Melayu?

“Ekoran itu nanti harus juga kita bersedia dengan kemasukan konsep, ikon, nilai dan imejan dari budaya dan suku lain itu berdiri setara dengan imej, ikon, dan konsep yang mungkin selama ini sakral bagi orang Melayu.

“Atau sebaliknya apa-apa yang sakral bagi masyarakat Melayu kerana sedemikian anggapan sekian lama tiba-tiba merosot kedudukannya apabila ia menjadi milik dan diguna setara oleh semua kaum penulis.

“Kalau dulunya amalan dalam main pateri, makyong dan sebagainya dilihat sebagai sakral dan ada nilai penyembahan, maka kini ada dalam dalang bukan Islam yang lulusan ASWARA dan akademi setaraf dengannya.

“Apakah kelak tidak mungkin ada orang bukan Melayu boleh bermain hadrah malah belajar membaca dan menyampaikan marhaban dan berzanji dan ada syair berzanji itu dibuka pintunya sehingga ada versi yang turut dicipta oleh bukan Islam atau bukan Melayu?”

Jelas Saiee, satu hal yang juga dipertimbangkan ialah wajarnya masyarakat penulis kebangsaan memisahkan diri daripada persempadanan maya politik dengan sedia menerima penulis dan karya dari mana-mana penulis tanpa mengira ideologi politik semasanya dan anutan spiritualnya.

Dengan kata lain katanya, pergerakan penulis haruslah mendominasikan politik dan orang politik, bukan menjadi pengikut. Hanya dengan itu barulah dapat disaringkan pemikiran dan nilai genius dan kebijakan sebenar dan universal dari kalangan sasterawan dan penulis yang tidak dipengaruhi oleh aura politik asabiah dan taksub terhadap ideologi sempit yang menyemputkan rasionaliti.

“Para penulis dan budayawan harus bertindak bijaksana dan seimbang serta holistic tanpa dapat dipengaruh oleh orang politik yang sehingga kini melihat hanya mereka sahaja yang bijak dan harus dominant dalam membuat keputusan bagi kepentingan masyarakat.

“Golongan penulis harus bijak memanfaatkan kecelaruan politik sekarang untuk bangkit menjadi diri mereka sebenar, iaitu sebagai pemikir dan pemimpin masyarakat,” katanya.


Sumber:Utusan Sarawak

Muhyiddin Minta Rakyat Pelbagai Kaum Negara Ini Pertahan Perpaduan


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat pelbagai kaum negara ini mempertahankan perpaduan yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara membangun paling maju di dunia.

Walaupun rakyat negara ini berlainan bangsa, agama, bahasa dan budaya, beliau berkata mereka telah menerima perbezaan itu sejak negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu.

"Kita tidak boleh abaikan perpaduan ini kerana ia adalah sesuatu yang amat mahal harganya kerana kita adalah satu bangsa Malaysia. Walaupun kita berbeza agama, tapi kita adalah satu rumpun bangsa Malaysia.

"Jadi jangan abaikan, jangan lupa kerana kalau kita lupa, akan berlaku perkara yang tidak baik," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan sempena Tahun Baru Cina kawasan Parlimen Pagoh di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Jern, Bukit Pasir pada Jumaat.

Kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis itu termasuk termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan ADUN Bukit Serampang Tahir Mohamad Taat.


Sumber:BERNAMA

Pelbagai Kaum Kunjungi Rumah Terbuka Guan Eng


Rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di laluan pejalan kaki Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum, berlangsung penuh harmoni dan warna warni.
Tetamu terhormat Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas dan isterinya tiba sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, Dr Mansor Othman dan P Ramasamy yang sedari awal berdiri sambil melayan tetamu yang tidak putus-putus menghulurkan tangan tanda semangat pada Tahun Harimau yang membawa maksud ketangkasan, licik, waja dan berketerampilan.
Selain Yang Dipertua negeri, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husain dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Guan Eng yang ditemani isterinya tidak putus-putus bersalaman dengan orang ramai tidak kira Cina, India mahupun Melayu manakala isterinya pula sibuk membahagikan buah limau tanda selamat kepada hadirin di pintu masuk ke medan majlis yang bermula jam 10.00 pagi sehingga 1.00 petang.
Walaupun beliau banyak tugasan selain sebagai Ketua Menteri juga sebagai Setiausaha Agung DAP, namun untuk kepentingan rakyat, beliau sanggup ketepi semua kesibukan semata-mata untuk bertemu rakyat.
Dua hari sebelum Tahun Baru Cina, beliau terlibat dengan pidato 'Tolak Fitnah' yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibung, Bayan Baru dan semalam di Kampung Pelet, Penanti bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Dari raut wajahnya sebagai pemimpin yang prihatin dan penyayang, maka tidak hairanlah di rumah terbuka itu, beliau tidak lupa kepada kanak-kanak serta golongan OKU dan warga emas bangsa cina yang mendiami rumah kebajikan.
Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina kali kedua setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri ini diserikan persembahan penari di bawah pengendalian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mempamerkan tarian tiga bangsa serta tarian singa sebagai lambang perayaan.


Sumber:BERNAMA