Welcome to my blog :)

rss




I made this widget at MyFlashFetish.com.




Jumaat, 19 Mac 2010

Perpaduan Nasional


Perpaduan nasional di Malaysia masih berada di tahap rendah, tahap luaran. Kita hanya bekerjasama dan bertolak ansur dalam perkara tententu. Apabila melibatkan perkara besar, kita selesa berada di atas landasan kaum sendiri dengan membelakangkan kaum lain.

Perpaduan nasional sekadar bunga kata-kata untuk melunakkan telinga sendiri, sedangkan hakikatnya kita masih terpisah oleh cita-cita dan perjuangan kaum masing-masing.

Namun, sesetengah pihak berkata perpaduan yang dipupuk sejak di bangku sekolah begitu erat tetapi kepentingan politik murahan menjadi penyebab perpaduan kaum tergugat.

Sewaktu di bangku sekolah kita tidak berasa diperkotak-katikkan. Kita tidak sedar ada perbezaan antara kita dengan kawan-kawan di sebelah yang bernama Amran, Subramaniam, Chong Beng, atau Attapol.

Kita tidak pernah dibisikkan jurang perbezaan. Kita tidak diapi-apikan dengan isu perkauman. Malah kita tidak kenal siapa Bumiputera dan bukan Bumiputera kerana kita tidak diajarkan tentang perkara itu.

Kita ditanamkan nilai persamaan lalu kita merasakan kita ini tidak ada perbezaan. Kita diajarkan menyanyi lagu Negaraku beramai-ramai sambil berdiri tegak memandang Bendera Kebangsaan ditarik ke puncak tiang. Semua orang, tidak terkecuali sesiapa pun, mesti menumpahkan taat setia kepada raja dan negara. Lima Rukun Negara adalah prinsip hidup kita. Selaku rakyat Malaysia, kita dilayan secara adil dan saksama. Begitulah kita rasa.

Namun, hakikatnya tidak begitu. Apabila dewasa kita mula mengesan ketidaksamaan dalam layanan. Kita sedar bahawa ada jurang yang dalam di antara kita. Jurang ciptaan pemimpin kita sendiri. Pemimpin kita hidup dengan dua wajah iaitu wajah bangsa sendiri dan wajah bangsa Malaysia. Mereka hipokrit. Kita dikotak-kotakkan mengikut asal-usul, keturunan dan anutan agama. Hampir saban hari, telinga kita dibingitkan dengan isu-isu “perbezaan” seperti hak warganegara, isu rakyat kelas kedua, kedudukan istimewa, DEB, bahasa ibunda, kuota pendidikan, biasiswa, subsidi dan seribu satu perkara.

Inilah punca utama matlamat perpaduan tidak pernah kesampaian. Perpaduan hanya untuk kanak-kanak. Orang dewasa hidup “aku aku, engkau engkau”. Luarannya kita kelihatan bersatu, tetapi dalaman, tanyalah hati sendiri.

Kita tidak mahu perbezaan begini berterusan sehingga ke generasi mendatang. Kita bimbang perbezaan menghapuskan kesejahteraan dan kedamaian yang diusahakan selama ini. Oleh itu, dasar perpaduan dan integrasi harus diberikan nafas baru.

Perpaduan tidak akan berhasil sekiranya bersulamkan politik perkauman dan sifat hipokrit.
Sumber:satumalaysia.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan